Pandang Sisi : Sinopsis dan Ringkasan

Salam,

Berikut adalah ringkasan dan sinopsis buku-buku yang terdapat di Gerai Jualan SAHAM.




Pandang Sisi : Travelog Syahadah


Buku Travelog Syahadah: Jejak Seorang Mualaf Mencari Jalan ke Syurga karya Muhammad Rashidi Abdullah ini sesuai dibaca oleh semua lapisan umur kerana gaya bahasanya yang mudah dan menarik. Penceritaan dari babak ke babak, melalui plot-plot seperti dalam kebanyakan cerita fiksyen (meskipun ia bukan cerita fiksyen), menjadikan ianya menarik untuk dibaca. Buku ini mengisarkan perjalanan hidup beliau sendiri daripada berumur 16 tahun, berpindah dari kampungnya, Sarawak, sehinggalah kisah pengislamannya di Kelantan, 7 tahun selepas itu.

Selain itu, buku ini sesuai sebagai panduan bagi kita sebagai pendakwah (umat Islam keseluruhannya) kerana meskipun ia ringkas dan mudah, ianya padat dengan pengajaran. Antaranya, faktor-faktor yang kita sendiri (orang Islam) lakukan dapat menjauhkan orang lain dengan Islam. Sebagai contoh, pengalaman beliau sewaktu mula-mula di dalam pejabat agama di Klang, telah membuatkan keinginan untuk memeluk Islam terbantut seketika. Empat tahun berikutnya, niat untuk muncul kembali, kali ini beliau lebih bersedia dari segalanya. Tetapi, cita-citanya masih tidak tercapai sewaktu berada di Selangor, akhirnya beliau mengambil keputusan untuk melafazkan syahadah di Kelantan. Apa cabaran yang dihadapinya? Apa pengalaman beliau sepanjang 7 tahun itu? Pastikan anda membeli buku ini untuk mengetahui kisah sebenarnya.




Pandang Sisi - Travelog Cinta Abadi: Masa Yang Berlalu


Umumnya, definisi cinta sering tertumpu pada cinta antara berbeza jantina, lelaki dan perempuan. Penulis buku ini, Raudzah Roslan atau Roza, mengintepretasi cinta dari sudut yang berbeza, iaitu cinta dan kasih sayang dalam keluarga melalui kisah benar kehidupan dirinya.

Menariknya buku ini, setiap peristiwa yang diceritakan mempunyai makna-makna yang tersendiri. Contohnya, kisah kutu dalam buku ini memberi perspektif yang berbeza pada saya mengenai kutu. Ya, kutu. Kutu yang lazimnya dikatakan pembawa masalah, menjadi asbab kepada hubungan kasih sayang antara penulis dan ibunya sewaktu kecil.

Perkongsian hati penulis, ditambah lagi dengan penceritaan yang selamba dan humor, terkadang menimbulkan rasa ingin tahu pada pembaca apa yang terjadi seterusnya. Kisah demi kisah digarap dengan baik sekali, tak terasa bosan membacanya. Apa lagi? Dapatkannya di gerai SAHAM.



Pandang Sisi : Sinopsis dan Ringkasan oleh Mohamad Noradli bin Hashim

Related Posts with Thumbnails